Drama Korea AlHijrah
TIDAK hanya memfokuskan kepada program dakwah, TV AlHijrah (TVAH) juga menyiarkan drama berkaitan pergolakan hidup dan perjuangan manusia dari luar negara. Memilih drama Jewel In The Palace dari Korea Selatan, ia berupa drama daripada kisah benar yang berlaku kira-kira 500 tahun dulu.
Ia adalah paparan kisah menarik penuh dengan semangat perjuangan dan emosi pada zaman pemerintahan Dinasti Joseon yang cukup terkenal di Korea.
Ketika itu serangan daripada negara jiran termasuk Jepun turut mengakibatkan kekacauan meletus di seluruh pelusuk negara. Apapun, di sebalik huru hara berlaku, terselit pula kisah hidup seorang gadis yang terpaksa bergelumang dengan masalah keluarganya.
Ia dibarisi pelakon ternama Korea seperti Lee Yeong-Ae, Jin-Hee Ji, Ri-Na Hong, Mi-Ri Gyeon, Ho Lim serta Jeong Un Cho. Menemui penonton TVAH bermula 20 September lalu, kisah menarik disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 3.30 petang.
Ceritanya bermula apabila Seo Chun Soo terbabit dalam konspirasi membunuh ibu kepada pemerintah zaman itu, Raja Yeongsangun.
Kesannya, dia dan isterinya, Dayang Park akhirnya dibunuh selepas Raja Yeongsangun mendapat tahu apa yang berlaku.
Sebanyak 54 episod disajikan untuk drama bersiri ini yang pastinya mengundang pelbagai emosi penonton.
Harian Metro
Ujian Ustazah Pilihan Bermula
SESUDAH mengumumkan 11 peserta pilihan program realiti TV Ustazah Pilihan, pihak penerbitan di Astro Oasis (Saluran 106) kini memulakan detik cabaran serta ujian untuk mereka yang terbabit itu.
Setiap episod menampilkan pelbagai kejutan dengan tugasan yang menentukan perjalanan peserta yang bakal diangkat sebagai calon ikon Muslimah.
Kejayaan program pencarian Imam Muda yang pernah disiarkan sepanjang dua musim lalu nyata menguatkan keyakinan pihak penerbitan Astro Oasis menghasilkan pula program untuk golongan hawa.
Bermula malam ini, program mingguan berkenaan akan ke udara menerusi Astro Oasis setiap Khamis jam 9 malam.
Bagi tugasan minggu pertama dengan tema, Masih Ada Yang Sayang, peserta dikehendaki berkunjung ke Rumah Solehah, Cheras untuk melawat wanita yang menghidap penyakit HIV. Setiap ustazah akan memberi bimbingan dan kata-kata semangat kepada pesakit.
Episod pertama meliputi sidang pengenalan di mana peserta melalui aktiviti di hutan di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat.
Paling hangat episod ini mengetengahkan sesi hujah mengenai tugasan mingguan pertama yang bertemakan, Masih Ada Yang Sayang. Isu yang didebatkan adalah berkenaan HIV.
Program ini diketuai mudirah, Dr Robiah K Hamzah dan dibantu dua mursyidah iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan dalam mencari muslimah sejati. Program Ustazah Pilihan ini juga menampilkan Siti Rohani Surani yang juga penyampai Radio Ikim sebagai pengacara.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, berkata maklum balas daripada sesi uji bakat yang diadakan di beberapa lokasi pilihan menunjukkan setiap peserta mempunyai bakat dan memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk diketengahkan sebagai calon ikon Muslimah berpotensi.
“Seramai 11 calon terbaik dikenal pasti menerusi sesi pemilihan dan temu duga yang rumit untuk diserap dan menerima pembelajaran di bawah bimbingan mudirah dan mursyidah.
“Setiap mereka mempunyai latar belakang kerjaya, keluarga, pendidikan, perwatakan, dan status yang pelbagai.
“Secara jujurnya, kami sendiri berasa amat berbesar hati kerana dapat memberikan peluang yang setara kepada golongan hawa menerusi platform yang kami miliki untuk mereka mengembangkan bakat dalam aktiviti dakwah dengan pendedahan yang lebih kontemporari bagi menjadi pelapis pendakwah sejati generasi baru yang disegani,” katanya.
Tambah Izelan, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bank Islam atas kesudian menjadi penaja utama dengan kerjasama Al-Riyadh Travel and Tours.
Sesungguhnya, kerjasama dan sokongan yang ditunjukkan daripada pelbagai pihak ini amat bermakna dan menyuntik semangat mereka untuk terus berusaha menerbitkan program kerohanian seperti itu.
Calon Ustazah Pilihan ialah peserta dari Kelantan, Nur Atieqah Mohd Zainudin, 20, (Atiqah); Nur Aqidah Mawardi, 21, (Aqidah/Selangor); Nun Faizah Rohana Mustapha, 21, (Faizah/Pahang); Siti Fatimah Mad Yatim, 21, (Fatimah/Kedah);
Maryanti Ramle, 23, (Yanti/Melaka) dan Siti Nor Hafidza Razali, 21, (Fizah/Negeri Sembilan).
Selain itu ada dua wakil dari Johor, Masfira Hilman, 27, (Fira) dan Nurul Hidayah Kamarudin, 26, (Hidaya) manakala Firuz Akhtar Mohamad Bohari, 27, (Firuz), Nina Syazmeen Mohd Din, 23, (Nina), Siti Fatimah Mohd Sharif, 26, (Siti) masing-masing datang dari Kuala Lumpur.
Maklumat lanjut, penonton boleh melayari laman www.ustazahpilihan.com.my atau laman sosial, www.facebook.com/UstazahPilihan106 dan http://twitter.com/UstazahPilihan.
Harian Metro
Puas Tengok Aksi De Niro
BABAK lasak, aksi tembak-menembak dan siapa mencari siapa membuat penonton berteka-teki dan terpaku di tempat duduk.
Itulah apa dapat digambarkan sewaktu menonton tayangan khas filem Killer Elite bersama 200 pembaca setia akhbar Harian Metro di GSC Tropicana City Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Mereka mendapat tiket tajaan Really About Movies (RAM) atau RAM Entertainment yang ditebus menerusi keratan akhbar promosi filem dalam Harian Metro pada 27 September lalu.
Filem aksi thriller arahan Gary McKendry, pengarah dari Ireland Utara menggabungkan aktor berpengalaman dari Hollywood, Britain, Australia dan New Zealand.
Kepada pengunjung pawagam mahupun peminat drama bersiri sitkom, siapa tidak kenal Robert De Niro, Jason Statham dan Clive Owen. Selain itu, Aden Young dan Yvonne Strahovski turut membintangi filem menarik ini.
Killer Elite diketengahkan ke layar perak berdasarkan novel kisar benar berjudul The Feather Man karya penulis Britain, Sir Ranulph Fiennes.
Ia mengisahkan mengenai beberapa siri pembunuhan dilakukan pasukan dikenali sebagai The Clinic terhadap rejimen SAS Britain.
The Feather Man pula adalah gelaran diberikan terhadap sekumpulan anggota pasukan khas melindungi anggota rejimen ini daripada menjadi mangsa.
De Niro tampil memegang watak Hunter sementara Statham (Danny), Owen (Spike), Young (Meier) dan Yvonne (Anne).
Berdasarkan kisah berlaku pada dekad 1980-an merentasi Australia ke Paris, London dan Timur Tengah, Killer Elite berkisar mengenai tawaran baru diterima oleh bekas ejen operasi khas yang sudah bersara, Danny.
Dia akan menerima ganjaran jutaan dollar jika keluar daripada persaraan untuk menyelamatkan rakan senior dan mentornya, Hunter.
Hunter diculik seorang Sheikh Arab yang mahukan dia membunuh tiga anggota SAS yang bertanggungjawab membunuh tiga anaknya sewaktu krisis minyak berlaku di Oman.
Watak ejen bertanggungjawab menguruskan rundingan Danny dibawa oleh pelakon Britain, Adewale Akinnuoye-Agbaje.
Untuk mendapatkan semula Hunter, Danny mesti melengkapkan misi sukar dibantu dua rakan berpengalaman dalam perisikan.
Apa pula tugas Danny?
Dengan imej berkepala botak, Danny harus membunuh tiga bekas tentera SAS terbabit dengan apa cara sekalipun. Pada masa sama, Danny perlu berdepan Spike, ketua unit berpengalaman bertindak selaku pelindung kepada anggota SAS.
Sekalipun Killer Elite mendapat pelbagai reaksi di peringkat antarabangsa, pelbagai interpretasi juga diberikan oleh penonton tempatan.
Bukan saja faktor pelakon berpengalaman, malah aksi pertarungan lasak ditonjolkan antara elemen menarik membuatkan filem ini salah satu karya yang mesti ditonton pada 2011.
Aspek paling ketara ialah kesan bunyi dan babak pertarungan yang bukan dibuat-buat hingga mewujudkan rasa berdebar dalam diri penonton.
Seperti cereka lain, Killer Elite boleh dianggap sebagai filem membuatkan seseorang berfikir siapa yang menjadi dalang sebenar. Apapun, untuk memahami plot atau ‘ingin tahu’, penonton perlu datang ke pawagam untuk mengetahui kesudahan filem bertema ‘May The Best Man Live’ ini.
Killer Elite mula ditayangkan pada 28 September lalu di pawagam seluruh Malaysia.
Pengurus Pengurus Pengagihan dan Pemasaran RAM Entertainment, Azizee Ismail, berkata sambutan diterima terhadap penebusan keratan akhbar Harian Metro untuk tiket sangat menggalakkan.
“Penonton hanya perlu datang menunjukkan keratan akhbar promosi filem Killer Elite untuk ditukar kepada tiket untuk menyaksikan previunya.
“Ini antara cara dilakukan oleh RAM Entertainment untuk sebagai penghargaan terhadap pengunjung pawagam. Kami sangat berbesar hati kerana selalu dapat bekerjasama bersama Harian Metro untuk mempromosi filem terbaru kami” katanya.
Harian Metro
SOSEH SOSEH: Selebriti Terlebih ‘over’ Atas Pentas
MAKIN menjadi-jadi pula gelagat selebriti terkenal yang seorang ini. Bukan sekali dua, malah kerap sudah SS mendengar komen mengenai tabiatnya yang suka ‘over’ ketika berada di atas pentas mengendalikan beberapa majlis.
Entah kenapa sejak kebelakangan ini jika dia muncul di majlis hiburan ada saja perkara yang tidak kena. Tabiatnya itu seolah-olah ingin melepas gian beraksi di atas pentas. Maklumlah sebelum ini memang dia cukup dikenali ramai, malah ada kelompok peminat tersendiri. Namun selepas mengubah haluan di bawah syarikat lain, nampak benar perubahannya itu macam kadang-kadang terdesak pun ada. Entahlah rimas pula SS tengok.
Untuk pengetahuan peminat hiburan, artis ini sememangnya ada pelbagai kebolehan. Bukan hanya terbabit dalam dunia seni malah bergelar usahawan dengan rangkaian produk. Justeru, boleh dikatakan jadual artis ini agak padat dengan pelbagai program seni di sana-sini cuma tidak lagi di kaca TV.
Mungkin disebabkan sekarang dia jarang-jarang sekali diberikan peluang tampil di atas pentas majlis besar atau kaca TV, tingkah lakunya semakin berubah dan nampak macam ‘over’.
Kalau betul ingin mencuri perhatian tidak perlu melakukan perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat dan membuat lawak yang pada SS kurang cerdik.
Ketika muncul dalam sebuah program hiburan, baru-baru ini, contohnya selebriti itu sentiasa mahu mencelah rakannya bercakap. Bingit jadinya suasana persekitaran majlis yang berlangsung pada hari itu, riuh macam pasar.
Tahu saja bila ramai nak bercakap kita pun tidak tahu mana satu nak dengar. Harap-harap pengacara itu akan menjadi lebih ‘cool’ kerana kalau ‘over’ sangat takut nanti orang lekas menyampah.
Harian Metro
SOSEH SOSEH: Borong Sakan Di Los Angeles!
“PAPA kedana kalau tinggal lama-lama di LA!” ujar kawan SS yang baru pulang dari Los Angeles, Amerika Syarikat sempena rombongan makan angin sambil belajar filem yang dianjurkan buat pemenang Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010). Rombongan itu berada di sana mulai 26 September hingga 2 Oktober lalu.
Kata kawan SS tadi, jualan murah atau ‘sale’ memang tengah berlangsung di mana-mana ceruk Hollywood, khususnya ‘outlet’ terkenal, Camarillo dan Desert Hill di pinggir LA.
Bayangkan, barang berjenama seperti Coach, Armani Exchange, Tory Burch, Ralph Lauren, DKNY, Salvatore Ferragamo, Guess, Lacoste dan macam-macam lagi dijual pada kadar separuh harga, malah diskaun mencecah 70 peratus!
“Beg tangan berharga RM3,000 di KL boleh diperoleh dengan harga RM1,500 saja. Jadi ramai jadi kelabu mata dan terus berbelanja tak ingat dunia!” katanya yang tidak ketinggalan membeli-belah.
Katanya, tidak cukup dengan wang tunai di tangan, ramai yang terpaksa guna duit plastik iaitu kad kredit.
Ujar kawan SS lagi, artis yang tidak pernah pulang dengan tangan kosong
di setiap lokasi dilawati tidak lain daripada Lisdawati dan Fadilah Mansor. Ada saja yang dibelanjakan mereka untuk diri sendiri, keluarga dan teman-teman.
Lisda contohnya, membeli pelbagai barangan buat suami tersayang, Fauzi Nawawi yang sepatutnya menyertai rombongan itu atas kemenangannya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam ASK 2010.
Namun sayang sekali Fauzi tidak dapat mengikuti rombongan itu pada saat-saat akhir atas sebab visanya tidak dapat disiapkan awal.
Justeru, tempatnya diwakili Lisdawati kerana SS difahamkan ganjaran buat Fauzi agak istimewa berbanding pemenang lain di mana dia boleh membawa pasangan ke LA.
Berbalik kepada cerita Lisda, mengenangkan suaminya tidak dapat menyertai rombongan itu, Lisda ‘membalas dendam’ dengan membeli pelbagai barangan buat Fauzi. Malah, dia selalu cakap, “Kesiannya Fauzi tak dapat ikut.”
Bukan itu saja, bibir Lis tidak pernah lekang menyebut nama ‘abangnya’ itu. Sayang sungguh Lisda pada suaminya. Baguslah begitu, dalam pada rambang mata ‘shopping’ nama suami tidak dilupakan Lis.
Harian Metro
Tiada Sekatan!
DREAM Chorus Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya Dream Music tidak pernah menghalang artis di bawah naungannya daripada me-nyambar apa saja peluang dalam dunia seni.
Sebaliknya pihak pe-ngurusan yang sentiasa memberi kebebasan dan mengutamakan kebajikan mengalu-alukan artisnya supaya berdaya saingan dalam memastikan nama mereka semakin dikenali seterusnya bertahan dalam dunia seni tanah air.
Pengarah Urusan Dream Chorus, Datuk Mohd Fauzi Zakaria berkata setiap tahun mereka akan mengambil beberapa artis baru yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan. Secara tidak langsung ia memberi ruang kepada artis mengukuhkan jenama serta mempertaruhkan karya menerusi pasaran muzik digital yang mendapat sambutan memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelaka-ngan ini.
“Sehingga kini kami mempunyai tujuh artis. Terbaru ialah artis yang menyertai kami ialah Keena bekas peserta Mentor musim ketiga.
“Memang kami mempunyai beberapa perancangan untuk mereka bermula dengan penghasilan single seterusnya muzik video.
“Kami tidak terburu-buru soal menghasilkan lagu atau album penuh memandangkan pasaran sekarang yang tidak menentu. Kami juga tidak pernah menyekat kebebasan artis untuk menyambar peluang lain. Malah, kami lebih menggalakkan artis untuk mengintai peluang masing-masing,” katanya.
Dream Chorus pembekal perkhidmatan muat turun lagu utama untuk syarikat telco Celcom Axiata Berhad menaruh keyakinan beberapa anak syarikat termasuk Dream Music yang sudah mampu bergerak sendiri.
Menerusi Dream Chorus pihaknya memperoleh pendapatan paling tinggi menerusi Call Me Tone (Celcom), selain Ring Back Tone, malah yang terbaru menerusi kandungan muat turun video dan muzik yang turut mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan.
“Selain lagu daripada artis terkenal tanah air, permintaan terhadap muzik video semakin menggalakkan daripada pelanggan syarikat telekomunikasi.
“Ini menunjukkan permintaan berkaitan dunia seni antara satu sumber pendapatan dan mendatang manfaat kepada karyawan seni tempatan,” kata Mohd Fauzi ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri 2011 di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain pelanggan syarikat itu serta karyawan seni, majlis berkenaan turut meraikan penghuni Pertubuhan Amal Anak-Anak Yatim Puchong.
Mereka yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan artis Dream Music seperti Arm, Adzrin Adzhar, Rina Zulkifli dan Keena.
Keena atau nama sebenarnya Suriana Abdul Wahab, 24, berasa bertuah dan bersyukur kerana diberi kepercayaan bernaung di bawah Dream Music.
Dia yang baru muncul menerusi single terbaru Cinta Luluh ciptaan sepenuhnya komposer baru, Y Hamid berharap kerjaya nyanyian akan terus menyerlah di bawah pengurusan syarikat itu.
Harian Metro
BORAK LOKASI: Rakam Suara Peserta Ke Mana Saja Mereka Pergi
DALAM setiap produksi, setiap kru memainkan peranan penting dalam memastikan proses penggambaran berjalan lancar. Peranan penting ini turut digalas juru bunyi, Emran Taib yang menjadi antara individu penting ketika penggambaran berlangsung.
Emran berpengalaman selama 10 tahun dalam bidang kerja ini bertanggungjawab melaksanakan tugas merakam suara dan bunyi di lokasi. Namun tugas bukan sekadar merakam sebaliknya perlu memastikan kualiti bunyi yang diambil memenuhi piawaian yang diperlukan produser.
“Bagi saya, kerja ini memberikan kepuasan pada diri yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Merujuk pada program ini, ia memberi cabaran pada saya untuk mengekori setiap peserta di lokasi berbeza.
“Untuk mendapatkan kualiti yang baik, saya perlu me-ngekori mereka ke mana saja apabila rakaman ini dibuat. Ketika penggambaran, suara peserta dirakam dari mikrofon di kamera, ‘boom’ termasuk diletakkan di sudut tersembunyi seperti dibawa meja.
“Sebolehnya, lebih daripada satu mikrofon digunakan agar bunyi dapat dirakam dengan lebih baik. Lagipun ia sebagai ‘backup’. Jika rakaman tidak jelas, kita masih boleh dibaiki,” katanya.
Katanya, penggambaran berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan sepanjang tiga bulan rakaman program ini dibuat. Bagaimanapun, cabaran paling dirasai ketika penggambaran dilakukan di tempat yang mempunyai lokasi orang ramai seperti pusat beli-belah.
“Sebelum penggambaran, ada ketika kru berbincang dengan peserta mengenai lokasi yang ingin dituju tapi kami tetap berbincang kesesuaiannya.
“Secara peribadi, saya masih puas melakukan kerja ini. Kepuasan ada apabila hasil yang diinginkan produser itu dapat dibuat sebaik mungkin.
“Buat masa ini, saya selesa untuk teruskan bidang ini sebagai kerja sepenuh masa. Bagi saya, setiap projek yang dilakukan memberikan kepuasan berbeza,” katanya yang mahu timba lebih banyak pengalaman.
Harian Metro
BORAK LOKASI: Bersikap Profesional Hadapi Telatah Peserta
MENJADI teraju dalam penggambaran pastinya memberikan cabaran besar. Pengalaman ini dilalui Mai Fernandez yang bertanggungjawab sebagai penyelia kandungan.
Gadis mudah mesra ini bersikap profesional dalam berdepan kerenah peserta dan merancang penggambaran mengikut jadual yang dirancang.
Katanya, cabaran mengendalikan program ini tidak serumit menghasilkan program dokumentari. Cabaran yang ditempuh lebih kepada merakam aksi peserta dari satu destinasi ke lokasi lain.
“Sebelum penggambaran dijalankan, saya perlu mengetahui terlebih dulu lokasi yang ingin dituju peserta. Ini penting dalam merancang kerja penggambaran dan tugas kru agar dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.
“Saya fikir lokasi berbeza yang dikunjungi peserta memberikan tarikan kepada penonton. Ada lokasi seperti kelab malam tidak sesuai dirakam kerana kami tidak dibenarkan masuk untuk membuat penggambaran.
“Tarikan lain membabitkan aksi peserta ketika tinggal dalam satu rumah. Di sini, penonton akan menyaksikan bagaimana peserta berinteraksi antara satu sama lain.
“Ia seperti forum sosial apabila mereka meluahkan pandangan dan isi hati masing-masing. Namun berbeza dengan wanita, ia suatu yang sukar untuk gambarkan mereka dalam situasi ini.
“Lelaki biasanya kurang bersikap terbuka untuk berkongsi pengalaman dengan rakan lain,” katanya.
Berusaha memberikan kelainan pada penonton, Mai berpandangan program ini lebih daripada sekadar impian lelaki untuk memiliki gadis idaman atau hubungan antara lelaki dengan wanita. Sebalik-nya, program ini memfokuskan kesungguhan lelaki dalam mencapai impian dalam diri sendiri.
“Semua peserta belum berkahwin dan dua peserta iaitu Fendi dan Wolfie masih bujang manakala Kit tampil bersama kekasihnya dalam program ini.
“Walaupun ada peserta yang masih solo dan sudah mempunyai kekasih, kisah mereka tetap mempunyai tarikan dan keistimewaan untuk dikongsi bersama penonton,” katanya.
Harian Metro
BORAK LOKASI: Mencungkil Rahsia Enam Lelaki Kacak
DI sebalik bunyi bingit kesesakan lalu lintas di sekitar Taman Tun Dr Ismail, suasana berbeza dirasai sebaik melangkah masuk ke sebuah restoran di situ.
Seketika suasana menjadi sunyi dan kemudian terdengar beberapa individu bersembang. Premis itu belum lagi memulakan operasi, tetapi di dalamnya sudah kelihatan beberapa individu termasuk seorang yang sudah lama menyepi.
Personaliti itu adalah Deanna Yusoff yang sedang menemu bual dua lelaki. Aksi mereka itu bukan sekadar sembang kosong, tetapi dirakam.
Di satu sudut pula, penyelia kandungan Mai Fernandez, sibuk memberikan arahan kepada artis dan kru teknikal yang berada di situ.
Mereka semua berada di situ bagi penggambaran program realiti TV terbaru untuk siaran ntv7, What Men Want. Program ini lebih berkonsepkan santai membabitkan pengacara menyelami perasaan peserta yang bertanding.
Produser, Tan Yin Yin berkata, penerbitan program ini suatu berbeza dari konsep program realiti TV lain. Menariknya, enam peserta lelaki kacak dipilih mengharungi cabaran selama 13 episod program ini berlangsung.
“Program ini bukan bersifat pertandingan antara peserta. Kami tidak mencari seorang pemenang, tetapi mahu memfokuskan bagaimana pengalaman dilalui enam peserta lelaki ini dalam mencari wanita idaman mereka.
“Pada peringkat awal pemilihan, kami mencari enam peserta yang mempunyai latar belakang berbeza dan ketika rakaman, kami hanya mengekori aktiviti seharian mereka.
“Untuk memudahkan tugasan ini, kami juga meminta mereka semua tinggal
di dalam sebuah rumah yang disediakan. Walaupun tinggal di sini, mereka masih bebas melakukan aktiviti seharian mereka.
“Memang sepanjang rakaman berlangsung, pelbagai ragam dirakam seperti peserta yang suka tidur hingga peserta melakukan aktiviti riadah seperti bermain golf,” katanya.
Yin menambah, apa yang menjadi cabaran pada peserta adalah bagaimana mereka mencapai matlamat hidup sama ada mengenai cinta, karier dan keluarga. Semua peserta berdepan cabaran selama tiga bulan.
“Dalam program ini, penonton akan lihat bagaimana peserta itu setia dengan pendirian dan matlamat dirinya ketika di awal program ini dirakam atau dia menukar matlamat yang mahu dicapai.
“Bagi pihak produksi, kami tidak mempunyai masalah andai peserta mahu berjumpa dengan kekasih, keluarga atau bersosial di kelab malam ketika rakaman dilakukan.
“Setiap peserta diekori dua hingga tiga jurukamera kami. Sebelum penggambaran bermula, kami terlebih dulu memberi penerangan pada peserta mengenai proses rakaman dan peserta juga perlu menyatakan lokasi yang mahu mereka pergi untuk hari seterusnya,” katanya.
Mengenai uji bakat program ini, ia dilakukan selama enam bulan secara tertutup menerusi laman sesawang dan kenalan rakan. Seramai 1,000 peserta mencuba nasib.
“Kami mencari peserta yang mempunyai tarikan dari aspek latar belakang dan penampilan. Ada ramai peserta yang berpotensi, tetapi menolak peluang ini kerana mereka tidak mahu jadi popular di TV.
“Sebolehnya, kami ingin berikan keseimbangan pada kisah kehidupan enam peserta ini dipaparkan pada penonton. Apa yang ditekankan, kami mahu menyampaikan pada penonton apakah kehendak lelaki sebenarnya.
“Mungkin tidak ramai wanita yang tahu perasaan dalaman lelaki yang juga mempunyai kelembutan, perasaan, minat dan impian yang ingin dicapai. Untuk merealisasikan semua itu, mereka harus bekerja keras dan menjadi kreatif.
“Sebagai tarikan, ada situasi yang menyaksikan peserta berdepan cinta tiga segi hingga mencetuskan perbalahan antara mereka sendiri,” katanya.
Program yang bersiaran dalam bahasa Inggeris ini menyaksikan enam peserta bersaing, iaitu Gerrit Poel, Fendi Shareef, Ken Wong, Kit Mah, Narmi Ishak dan Wolfie Noor. Ia akan disiarkan menerusi ntv7 dijangka pada awal tahun depan.
PROFIL
Judul: What Men Want
Produksi: phoSumpro Sdn Bhd
Penyelia Kandungan/Pengarah: Mai Fernandez
Produser: Tan Yin Yin
Penolong Produser: Zac BMN
Jururakam Bunyi: Emran Taib
Jurusolek: Amy Chua
Penyelia Teknikal: Jay Wong
Tarikh Siaran: Januari 2012
Siaran: ntv7
Pengacara: Deanna Yusoff
Peserta Bertanding:
1. Gerrit Poel
2. Fendi Shareef
3. Ken Wong
4. Kit Mah
5. Narmi Ishak
6. Wolfie Noor
Harian Metro
‘Saya Masih Menyanyi Lagi’
SESEKALI dipertemukan dalam satu sesi fotografi, empat sahabat ini tidak henti berceloteh.
Ada saja yang ingin disembangkan hingga riuh-rendah jadinya majlis rumah terbuka, Kuzie Katering anjuran Pak Engku malam Jumaat lalu di Dewan Sri Delima, Putrajaya.
Tidak sekadar bertanya soal perkembangan terbaru, malah, seribu satu kisah diceritakan hingga mengundang gelak-tawa. Bagi Fazli Zainal, Maya, Shikin dan penyanyi popular zaman 80-an, Zur Eda, apa yang penting adalah persahabatan dan keikhlasan dalam sesebuah perhubungan.
Biar berbeza umur dan latar belakang, namun keempat-empat mereka tidak janggal bertukar pendapat.
Jarang muncul di dada akhbar namun nama Zur Eda sudah jauh bertapak di hati peminat.
Pernah popular menerusi lagu Lama Tak Jumpa dan Kelmarin hingga berjaya ke gelanggang akhir Anugerah Juara Lagu sebelum ini, Zur Eda melihat perkembangan muzik tempatan semakin hebat dan kukuh.
Peluang bertanya khabar dengannya memberikan kesempatan buatnya untuk berkongsi perkembangan baru yang kini sedang gigih diusahakan.
“Alhamdulillah saya masih di sini dan terus menyanyi. Walaupun sekarang kini lihat terlalu banyak saingan dan wajah-wajah baru, namun saya bersyukur kerana masih ramai lagi pihak yang ingat akan nama dan bakat saya.
“Setakat ini saya masih banyak menerima undangan persembahan dan menyanyi untuk majlis tertentu.
“Bagaimanapun, saya akui yang kini sudah terlalu banyak bakat baru yang lahir memeriahkan pentas seni suara. Kadang-kadang memang saya sendiri pun risau untuk muncul kembali kerana populariti mereka dan peluang yang ada buat mereka begitu besar. Namun itu semua adalah cabaran buat saya sebagai penyanyi lama untuk turut sama bersaing dengan mereka.
“Ikhlas sebagai seorang penggiat seni yang begitu cintakan lapangan nyanyian ini, saya begitu berbangga dengan pencapaian penyanyi muda hari ini yang sudah jauh melangkah memperjuangkan muzik masing-masing.
“Malah, jika diberi keizinan dan rezeki, saya akan muncul dengan sebuah lagi lagu terbaru buat peminat dalam awal tahun depan.
“Sekarang saya sedang sibuk menyiapkan lagu berkenaan bersama suami, Zulkifli Mohd Yusuf dan mengekalkan genre muzik yang sama iaitu Latin. Itu sudah menjadi identiti saya sejak dulu dan peminat sendiri sudah sebati dengan muzik
itu.
“Justeru, saya mengharapkan agar peminat untuk terus menyokong saya dan menantikan lagu terbaru itu nanti,” katanya.
Jelas Fazli yang kini masih sibuk dengan pelbagai undangan persembahan dan mengumpul material untuk album barunya menyifatkan pertemuan dengan teman memberikannya peluang untuk bertanya pendapat selain bertukar perkembangan baru memandangkan masing-masing begitu sibuk dengan jadual seni dan urusan peribadi.
“Alhamdulillah, walaupun saya nampak seperti senyap kerana tiada publisiti yang meluas namun undangan nyanyian masih ada seperti biasa.
“Masih ramai lagi pihak yang menjemput saya untuk mengadakan persembahan terutamanya badan korporat. Saya bersyukur kerana dihargai dan peminat juga tidak henti menyokong,” katanya.
Selain Fazli dan temannya yang lain, ramai juga selebriti lain yang turut hadir malam itu memeriahkan lagi sambutan majlis rumah terbuka Kuzi Katering termasuk Nasir Wahab, Haiza, Nubhan, Maulana (Akademi Fantasia 8) dan Uji Rashid.
Shikin umpamanya yang sempat menyumbangkan dua buah lagu raya malam itu bersama temannya, Haiza yang menyifatkan peluang muncul di majlis sebegitu dapat memberikan ruang buatnya bertemu peminat.
“Kelakarnya, banyak orang dan peminat yang ingatkan saya sudah tiada dalam lapangan nyanyian. Mungkin kerana saya jarang muncul dalam program televisyen atau meraih publisiti daripada media, mereka ingatkan saya sudah tidak aktif sebagai penyanyi.
“Namun sebenarnya saya masih lagi di sini menyanyi dan memenuhi undangan nyanyian.
“Saya seorang penyanyi dan tidak pernah mencuba kerja lain selain daripada itu.
“Ini saja periuk nasi saya untuk membesarkan anak kesayangan, Balqis yang kini sudah pun berusia enam tahun serta meneruskan kehidupan. Lantas jika saya sudah tidak lagi menyanyi, saya tidak tahu untuk buat apa lagi bagi menampung kehidupan.
“Sekarang saya sedang sibuk menyertai sebuah kumpulan yang mengangkat muzik
jazz. Kumpulan itu dianggotai empat anggota dan semuanya wanita. Kami akan mengadakan persembahan di hotel dan majlis korporat. Insya-Allah jika ada peluang nanti akan saya perkenalkan,” katanya yang pernah popular menerusi lagi Air Mata Rindu.
Maya pula yang pernah popular menerusi lagu Matahari kini lebih banyak mewarnai pentas lakonan.
Meskipun sudah lama tidak mendengar suaranya, namun penyanyi kelahiran Johor Bahru ini lebih banyak berlakon dan masih aktif berbanding yang lain.
“Lakonan adalah kerjaya bagi saya sekarang. namun nyanyian memang akan tetap menjadi keutamaan dan minat bagi saya. Namun rezeki lebih banyak cenderung dalam bidang lakonan akhir-akhir ini. Saya terima seadanya dan sentiasa bersyukur.
“Saya baru saja selesai menyiapkan sitkom Moh Kita Ke Kafe untuk tayangan RTM2 selain Hello Boleh Saya bantu yang kedua-duanya bakal muncul tidak lama lagi.
“Insya-Allah hujung tahun ini saya akan kembali pula dengan lagu terbaru berjudul Bersalah buat peminat yang menantikan kemunculan saya sebagai penyanyi,” katanya.
Harian Metro